Kerajaan memberi pelepasan kepada wakil staf dari bahagian kewangan dan sumber manusia syarikat swasta untuk hadir ke pejabat bagi menguruskan proses pembayaran gaji pekerja-pekerja sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan masih berjalan ketika ini.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan semalam berkata, kebenaran khas itu diberikan bertujuan melancarkan urusan kerja yang spesifik iaitu menyelaras dan memproses ‘payroll’ berkaitan pembayaran gaji kakitangan.

“Majikan diminta untuk menyediakan surat atau dokumen pelepasan dan kebenaran untuk ke tempat kerja yang melibatkan kakitangan kewangan atau ‘human resource’ dengan menyenaraikan nama penuh, nombor kad pengenalan pekerja yang terlibat serta nombor telefon majikan atau pegawai untuk dihubungi bagi tujuan pengesahan.

“Pekerja terbabit perlu membawa dan mengemukakan surat atau dokumen tersebut bagi memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja sekiranya diminta oleh pihak berkuasa,” jelas kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, sekurang-kurangnya hanya dua pekerja dibenarkan hadir ke pejabat untuk tempoh tarikh 31 Mac 2020 atau 1 April 2020 sahaja.