Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru syarikat swasta menyertai program ‘Reben Kuning’ yang bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan dalam kalangan belia negara.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata menerusi langkah itu ia sekaligus akan membantu mengurangkan kebergantungan syarikat swasta kepada tenaga kerja asing dalam pelbagai industri berkaitan.

“KBS komited untuk menggerakkan usaha bagi memberi peluang kepada banduan dalam kalangan belia ini memperolehi latihan dan seterusnya bekerja dalam industri.

“Ia secara tidak langsung akan membantu banduan ini untuk kembali dan berbakti kepada masyarakat tanpa terus dihukum atas kesalahan mereka yang lampau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran program Reben Kuning: PEKA@MRCB di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, semalam.

Syed Saddiq berkata menerusi inisiatif itu pihaknya optimis ia akan dapat mengubah persepsi orang awam terhadap bekas banduan sekaligus memberi peluang kedua untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

-BERNAMA