Banyak peluang pekerjaaan yang boleh diperoleh oleh belia melalui sektor pengangkutan yang kini semakin berkembang pesat di negara ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, masyarakat pada hari ini tidak melihat sektor pengangkutan sebagai sebuah sektor yang besar yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan baik menerusi bidang penerbangan, maritim dan pengangkutan darat.

“Sektor pengangkutan ini begitu luas dan besar dan banyak peluang pekerjaan berhubung kait dengan sektor pengangkutan. Setiap rakyat, setiap orang perlukan perkhidmatan pengangkutan sama ada dari satu tempat ke tempat yang lain dan dengan itu memerlukan banyak tenaga kerja.

“Dalam semua bidang pengangkutan hari ini, ia terus berkembang umpamanya sektor penerbangan yang semakin ramai orang menggunakan penerbangan. Dengan adanya pertumbuhan pesat dalam sektor penerbangan, mereka memerlukan lebih ramai tenaga kerja iaitu juruterbang, krew kabin dan jurutera yang menjaga kapal terbang, membuat ‘maintainance’, ‘ground handle’ di airport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Pendidikan (Sektor Pengangkutan) 2019 di Palm Mall Seremban, baru-baru ini.

-BERNAMA