Syarikat-syarikat di dalam rantaian nilai automotif perlu mengambil bahagian dalam program intervensi serta penilaian kesediaan, yang distruktur melalui Polisi Kebangsaan Mengenai Industri 4.0 (Industri4WRD) dan mewujudkan ruang untuk bakat-bakat Malaysia bagi memartabatkan daya saing mereka.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata sektor automotif akan memainkan peranan penting dalam membangunkan kapasiti yang diperlukan serta keupayaan tenaga kerja tempatan, sejajar dengan Industri 4.0.
“Sektor automotif telah lama menjadi pemangkin negara ke arah mewujudkan tenaga kerja berkemahiran dan berpengetahuan kerana sektor itu memberikan ruang pembangunan bakat yang diperlukan dalam bidang sains, kejuruteraan, teknologi dan bidang teknikal berkaitan”, katanya dalam satu kenyataan.
Sektor rantaian nilai menyediakan peluang yang mencukupi untuk pekerjaan berkemahiran tinggi berkembang seperti dalam gaya dan reka bentuk automotif, perkhidmatan kejuruteraan, proses pembuatan termasuk perkhidmatan selepas jualan.
“Negara-negara seperti Jepun dan Korea telah berjaya menjadi peneraju teknologi dalam pelbagai industri dan sektor, ia dicetuskan melalui cambahan teknikal yang wujud daripada sokongan berterusan yang datang daripada industri automotif tempatan,” katanya.
Oleh itu, beliau menggesa peneraju industri mencari jalan bagi menangani masalah kebergantungan kepada buruh asing. – BERNAMA