Majikan di seluruh negara disarankan untuk menitikberatkan aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam persekitaran kerja masing-masing terutamanya apabila melibatkan pekerja kerana ia sebenarnya mampu meningkatkan produktiviti, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.
Menurut Kula, penekanan amalan KKP daripada majikan memainkan peranan penting bagi mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni di samping memberi jaminan kepada pekerja agar kekal bekerja di tempat sama untuk tempoh yang lebih lama.
“Apabila majikan menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerja, maka masalah kemalangan di tempat kerja dapat diatasi. Apabila berasa selamat ketika bekerja serta tiada gangguan, pekerja akan bekerja dengan lebih baik dan seterusnya meningkatkan kualiti kerja mereka.
“Saya percaya apabila ini berlaku, kecekapan kerja juga bertambah baik dan ini sudah pasti dapat meningkatkan produktiviti,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama pada Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) ke-22 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.