Pemain-pemain industri tempatan digesa untuk segera keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran menguasai teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (RI 4.0) yang dijenamakan oleh kerajaan sebagai Industry4WRD bagi memudahkan urusan proses pekerjaan di dalam lapangan masing-masing.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, manfaat daripada teknologi di dalam industri bukan sekadar pemudah cara pekerja melaksanakan tugasan malah mampu meningkatkan keupayaan lain yang dimiliki oleh mereka.
“Revolusi Perindustrian Keempat akan mengubah jenis kerja yang diperlukan dalam industri. Kita berpendirian bahawa sebagai sebuah negara, pekerjaan untuk masa depan wajar diwujudkan.
“Matlamat kita bukan hanya untuk mengautomasikan kerja, tetapi menginsankan pekerjaan. Biar hanya mesin melakukan kerja berbahaya dan berulang, manakala manusia tentunya kelak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kreativiti, empati dan interaktif,” katanya pada ucaptama Beyond Paradigm Summit 2019 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.