Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mengingatkan syarikat tempatan untuk merebut peluang bagi menikmati dua kali potongan cukai pendapatan dengan hanya menghantar pekerja masing-masing menyertai siri latihan yang disediakan agensi tersebut.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dua kali potongan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2019 hingga 2023 yang termaktub di bawah Skim Galakan Potongan Cukai Dua Kali membolehkan syarikat mendapat manfaat pemotongan melibatan perbelanjaan latihan NIOSH seperti kos yuran, pengangkutan, penginapan dan tuntutan perbelanjaan lain yang berkaitan.
“NIOSH amat berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia di atas inisiatif yang tepat pada masanya ini. Ia jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta majikan.
“Inisiatif ini akan menggalakkan majikan memberi latihan kepada pekerja mereka serta dapat meringankan beban majikan yang kurang berkemampuan,” katanya pada Persidangan Eksperiensial Kesihatan Mental Malaysia di Sheraton Petaling Jaya, baru-baru ini.
Ujar Lam Thye, majikan dan pekerja boleh menghubungi ibu pejabat NIOSH di talian 03-8769 2100 jika berminat atau mahu mendapatkan sebarang maklumat lanjut.