Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menetapkan sasaran untuk membuka sejumlah 120,000 peluang pekerjaan melalui Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 bagi tempoh 2018 hingga 2025.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, ECERDC juga optimis untuk meraih pelaburan swasta baharu bernilai RM70 bilion di samping mahukan 60,000 peluang keusahawanan kepada rakyat dicapai melalui pelan induk yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Baidzawi Che Mat berkata, beberapa pelaksanaan strategi utama, projek berimpak tinggi serta program inklusif berteraskan rakyat melalui ECER berupaya mengekalkan transformasinya menjadi wilayah yang tersendiri, dinamik dan kompetitif menjelang 2025 dan tahun-tahun seterusnya.
“Dengan memanfaatkan asas kukuh yang dibina di atas pembangunan sosioekonomi ECER dalam tempoh sedekad lalu, Pelan Induk ECER 2.0 dibangunkan berteraskan kesejahteraan rakyat.
“Melalui penyampaian projek dan program berimpak tinggi, rakyat akan terus menerima manfaat melalui peluang inklusif dan saksama untuk meningkatkan kualiti kehidupan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan yang diwujudkan di wilayah ini,” katanya.
Pelan Induk ECER 2.0 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi ECERDC, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya, baru-baru ini.