Golongan hawa yang berminat untuk kembali bekerja dengan membangunkan bakat keselamatan siber boleh berbuat demikian di bawah program Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber.
Program yang ditawarkan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan usaha sama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sumber Manusia itu merupakan inisiatif untuk golongan wanita kembali bekerja.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata program itu juga bertujuan menangani jurang bakat yang dihadapi industri keselamatan siber, yang mana sasaran untuk melahirkan 10,000 bakat menjelang 2020 daripada 7,000 sekarang.
Beliau berkata program itu memberi kelonggaran masa bekerja serta kemudahan penjagaan kanak-kanak supaya wanita dapat menyesuaikan diri dalam pasaran buruh yang mencabar.
“Terdapat pelbagai bentuk sokongan disediakan kepada para peserta seperti bimbingan mentor, latihan, elaun bulanan dan banyak lagi manfaat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program perintis Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber, di Putrajaya hari ini. – BERNAMA