Caruman Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dilaksanakan ke atas pemandu teksi, bas dan perkhidmatan e-hailing perlu diperhalusi dengan cadangan tambahan diperluaskan pula ke sektor yang lain.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, cadangan tersebut dilihat wajar memandangkan terdapat golongan pekerja lain termasuklah sektor tidak formal seperti golongan petani, nelayan, penjaja dan penggiat seni yang turut layak mendapat perlindungan sewajarnya.
“Saya sudah beritahu PERKESO untuk berbincang dengan sektor-sektor terbabit dan dapatkan persetujuan mereka. Kami berharap cadangan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Cadangan ini merupakan satu hala tuju yang baik. Malah ia juga banyak dilaksanakan di negara maju yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar PERKESO di Hotel Hilton Kuala Lumpur, semalam.