Kerancakan pembangunan sektor rel dijangka membuka peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada masyarakat tempatan bagi meneroka skop kerja serta bidang baharu berkaitan industri tersebut di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerjasama Malaysia bersama-sama syarikat pembuatan kereta api terbesar dari China, China Railway Rolling Stock (CRRC) contohnya telah menjadi tunjang pelaburan yang membawa pulangan positif ke dalam pasaran buruh tempatan.
“Pihak CRRC turut menghantar para petugasnya di sini ke China bagi meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang pekerjaan mereka. Ini antara proses pemindahan kecekapan yang bakal menguntungkan industri pekerjaan negara.
“Mereka inilah yang kemudian berpotensi meneroka peluang menjadi usahawan misalnya sebagai vendor senggaraan bagi pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada masa hadapan seterusnya mencambah peluang kerja baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Kemahiran Pekerja Tempatan Dalam Pemasangan ETS di kilang CRRC (Malaysia) Batu Gajah Perak, hari ini.