Graduan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal memperoleh manfaat daripada pengenalan platform carian kerja yang dikenali sebagai e-Portfolio bagi merebut peluang pekerjaan secara dalam talian dengan lebih mudah.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, ciri-ciri penting sistem e-Portfolio telah disokong oleh syarikat yang mempunyai kerjasama dengan UniMAP berdasarkan konsep permintaan dan penawaran terhadap pelajar dan syarikat dalam industri.
“Sehingga kini, lebih daripada 3,000 e-Resume pelajar UniMAP sudah dimuatkan ke dalam e-Portfolio dan 50 syarikat sudah mendaftar sebagai penawar pekerjaan.
“Saya percaya e-Portfolio bakal memudahkan lagi proses penempatan pekerjaan bakal graduan dan pada masa yang sama juga meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian,” katanya kepada pemberita pada Karnival Konvensyen Kerjaya Bersama Industri Utara (NICE 4) 2019 di Perlis, semalam.