Majikan di seluruh negara diingatkan supaya tidak mengambil sikap sambil lewa serta acuh tidak acuh berhubung kemalangan yang berlaku melibatkan pekerja masing-masing kerana tindakan undang-undang boleh diambil kepada golongan terbabit yang ingin lepas tangan.
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, majikan perlu melaporkan sebarang kemalangan yang melibatkan pekerja dalam tempoh 48 jam selepas mengetahuinya seperti yang tertera dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan.
“PERKESO memandang serius ke atas majikan yang gagal mengikuti prosedur ini. Majikan yang gagal melakukan demikian boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan di bawah akta tersebut.
“Inilah manifestasi keprihatinan PERKESO terhadap kebajikan golongan pekerja di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook berhubung sebuah kes kemalangan yang melibatkan majikan tidak bertanggungjawab di Melaka, baru-baru ini.