Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) berhasrat untuk menarik pelaburan aset tetap sebanyak $8 hingga $10 bilion dan perbelanjaan perniagaan sebanyak $5 hingga $7 bilion pada tahun ini dengan sasaran mewujudkan kira-kira 16,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan.
Pengarah Urusannya, Chng Kai Fong berkata, syarikat-syarikat luar akan memanfaatkan platform di Singapura untuk menembusi pasaran berkembang ke ASEAN berdasarkan kelebihan syarikat-syarikat elektronik negara tersebut yang berupaya menjadi pusat digital serantau.
“Bidang digital tidak terhad kepada firma teknologi tetapi lebih luas kepada industri seperti kewangan, penjagaan kesihatan, logistik dan pengguna yang membangunkan pusat kecemerlangan digital di sini.
“Pekerjaan yang diwujudkan dalam bidang digital juga tidak tertumpu kepada pengatur cara komputer, bahkan juga bidang kreatif seperti pereka dan pakar strategi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.