Majikan di seluruh negara diingatkan supaya tidak menafikan hak pekerja berstatus sambilan atau kontrak untuk membuat bayaran caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) demi menjamin kesejahteraan mereka sewaktu bekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, tiada sebarang pengecualian yang boleh dilakukan majikan berhubung perkara tersebut dan pekerja yang tidak dicarum juga berhak membuat laporan sekiranya majikan enggan memandang serius hal terbabit.

“Kita sudah lama tegaskan bahawa mereka ini perlu dicarumkan demi masa hadapan dan keselamatan pekerja seandainya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap mereka.

“Jadi kita minta pekerja yang masih belum dicarum oleh majikan tampil ke hadapan membuat laporan supaya kerajaan boleh mengingatkan majikan untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa di Kampung Mengkuang Layar Perlis, kelmarin.