Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi perhatian serius berhubung isu pemerdagangan manusia serta buruh paksa di Malaysia dengan tidak mahu berkompromi kepada mana-mana pihak atau majikan yang didapati terlibat.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, inisiatif untuk memerangi kedua-dua amalan yang mengeksploitasi manusia itu kini giat dilaksanakan kerajaan melalui perundangan dan penguatkuasaan undang-undang.
“Saya gembira dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan baru-baru ini untuk menyiasat kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit di Wang Kelian yang ditemui tiga tahun lalu. Tindakan ini menunjukkan Malaysia Baharu serius dalam memerangi pemerdagangan manusia dan akan melakukannya secara telus,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.
Tambah Kula Segaran, majikan yang berselindung mengamalkan buruh paksa meskipun mematuhi undang-undang pula tidak akan terlepas diheret ke muka pengadilan.
“Perkara ini dilaporkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu berjuta-juta pekerja di seluruh dunia adalah mangsa buruh paksa. Tetapi saya tegaskan kita bertekad melawan amalan ini. Kita akan memerangi buruh paksa,” jelasnya.