Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensi-agensinya kini giat melaksanakan pendekatan pembelajaran yang menggabungkan dua elemen iaitu ‘Dua tahun di Universiti’ dan ‘Dua tahun menjalani latihan Industri’ (2U2I) sebagai mekanisme terbaik untuk menyiapkan para graduan ke pasaran pekerjaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pendekatan tersebut telah dipelopori oleh agensi seperti Institut Keusahawan Negara (INSKEN) yang telah menyediakan platform latihan serta kejurulatihan yang bukan memberikan ilmu secara akademik dan teori, malah pendedahan banyak diberikan secara praktikal.
“Saya percaya pembelajaran berterusan berlaku bukan sahaja di dalam ruang lingkup di bilik kuliah sahaja malah penempatan di industri akan memberi pembelajaran berterusan secara amali,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Wan Junaidi, konsep 2U2I juga telah dinyatakan beliau ketika sesi perbincangan berhubung penubuhan Kolej Universiti Koperasi dengan pihak iCoop baru-baru ini.
“Dalam hubungan yang sama, MEDAC melalui inisiatif ‘Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs’ (PROTEGE) juga telah memulakan penempatan graduan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta agar dapat mengasah bakat, memberi pendedahan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan ini dengan lebih tinggi.
“Ini amat penting bagi membuka peluang yang lebih luas dan membantu meningkatkan jaminan peluang pekerjaan kepada para graduan dan belia Malaysia,” ujarnya.
-HR HUB