Karnival Kerjaya Johor Bestari (Kredit foto Unit Strategik Modal Insan Johor)
Karnival Kerjaya Johor Bestari (Kredit foto Unit Strategik Modal Insan Johor)

Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor bakal mengadakan Karnival Kerjaya Johor Bestari pada 20 dan 21 April ini dengan tawaran 5,000 peluang pekerjaan oleh 80 syarikat dibuka kepada pengunjung-pengunjung yang hadir di Galleria Kotaraya nanti.

Pengerusinya, S. Ramakrishnan berkata, matlamat karnival yang melibatkan 15 agensi kerajaan negeri dan persekutuan tersebut adalah untuk merangsang masyarakat terutamanya generasi muda dalam memberi sumbangan positif ke arah pembangunan ekonomi negeri.

“Antara agensi yang terlibat dalam karnival berkenaan adalah Jabatan Tenaga Kerja Johor dan JobsMalaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang.

“Pada karnival itu juga, pengisian seperti sesi temuduga terbuka, klinik kerjaya, pameran oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta Kaunter Mobile Labour Care (MOLAC) yang menyediakan perkhidmatan nasihat perburuhan akan diadakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar Johor, semalam.