Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyatakan bahawa majikan dikehendaki membayar gaji pekerja mengikut kadar upah seperti yang tertera di dalam kontrak perkhidmatan serta tidak boleh sewenang-wenangnya memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berjalan sehingga 31 Mac 2020 nanti.

Menurut kenyataan KSM pada hari ini bagi menjawab soalan lazim yang menjadi kekeliruan majikan dan pekerja, perkara-perkara yang dijelaskan tersebut adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang perlu dipatuhi.

“Ya, majikan wajib membayar gaji penuh. Pekerja bergaji harian perlulah dibayar mengikut kadar upahan yang telah dipersetujui di antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran atau kontrak perkhidmatan atau surat kenaikan gaji terkini.

“Untuk pekerja yang mana upahnya tidak tetap maka kadar hariannya hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020,” katanya.

Tambah kenyataan itu, gaji pekerja berserta elaun yang berkaitan juga perlu dijelaskan oleh majikan untuk pekerja yang bekerja dari rumah.

Senarai Soalan Lazim Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan KSM ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Untuk jawapan bagi soalan-soalan lazim lain yang berkaitan, sila rujuk laman web rasmi serta laman sosial KSM atau hubungi Bilik Gerakan Pemantauan Pekerjaan Covid-19 KSM di talian 03-8889 2359, 03-8886 2409 dan 03-8890 3404.

KSM-pekerja-majikan-Foto-HRhub.jpg