Kerajaan akan meneliti cadangan untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun di negara ini seperti yang dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara sebelum membuat keputusan berkenaan perkara itu.

“Kita telah memberi beberapa pandangan dan tujukan kepada Kementerian Kewangan termasuk mengenai permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Kempen Menanam Pokok di Taman Dr Seenivisagam, Ipoh bersama Adun Kepayang, Dr. Ko Chung Sen dan Datuk Bandar Ipoh Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim baru-baru ini.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

Ditanya sama ada cadangan itu relevan kerana dikhuatiri mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda, Kula Segaran berkata cadangan peningkatan had umur bersara itu dilihat mampu memberi kebaikan kepada negara pada masa hadapan.

“Negara ini kekurangan tenaga kerja dan bukannya kekurangan peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja asing disebabkan negara ini kekurangan tenaga kerja,” katanya. – BERNAMA

Kula-Segaran-Kredit-KSM.jpg