Tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang memperkenalkan beberapa inisiatif penambahbaikan baharu dalam sektor perkhidmatan awam dilihat berjaya memberikan impak positif dan kekal relevan setelah pelaksanaannya berupaya meningkatkan hasil kerja secara lebih sistematik.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, antara insiatif yang mendapat respons baik daripada golongan pejawat awam ialah sistem Myportfolio dengan catatan 94.1 peratus penggunaan.

“Sistem ini merupakan panduan yang digunakan penjawat awam bagi melaksanakan tugas dan menambah baik manual prosedur kerja serta fail meja terdahulu.

“Selain itu, pembaharuan lain dilakukan kerajaan baharu termasuklah mewujudkan waktu kerja anjal, kaedah bayaran gantian cuti rehat (GCR) yang ditambah baik dan sistem pengurusan prestasi yang lebih berkesan iaitu Myperformance,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan bersama Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Tambah Ismail, tunjang utama bagi penambahbaikan tersebut iaitu Transformasi Perkhidmatan Awam Negara secara tidak langsung melibatkan proses rasionalisasi bagi mengoptimumkan sumber manusia, penyusunan semula perjawatan bagi mengelak pertindihan tugas dan fungsi serta penyampaian perkhidmatan alternatif.

“Gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan semasa sejajar hasrat kerajaan iaitu penggunaan sumber manusia secara cekap,” jelasnya.

Ismail ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan bersama Perdana Menteri (Kredit foto Dr Ismail Bakar).jpg