Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini sedang merangka strategi baharu bagi mempermudahkan proses golongan orang kurang upaya (OKU) untuk memperoleh sijil kelayakan bekerja seterusnya meningkatkan peluang kebolehpasaran mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, mekanisme dengan pendekatan menggunakan sistem Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) yang akan dilaksanakan itu telah direka khas untuk OKU melibatkan kesemua bidang dalam pelbagai jenis sektor.

“Ramai golongan OKU yang mampu bekerja tetapi mereka tiada sijil. Kesukaran untuk mendapatkan pensijilan itu disebabkan faktor golongan OKU yang perlu menjalani ujian sama seperti calon normal yang lain.

“Oleh itu, kaedah khas yang mula dirangka sejak Januari lalu kini dalam peringkat akhir dan selepas ini diharapkan golongan OKU akan mudah memperolehi kerjaya dalam sektor awam atau swasta,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Kerjaya Kemahiran Keusahawanan dan Kompetensi Insan Istimewa (OKU) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok, semalam.

Mahfuz-Omar-Kredit-foto-KSM.jpg