Jepun telah menghantar dua pasukan pegawai dan pakar kereta api ke Malaysia susulan permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan bantuan negara itu dalam usaha meningkatkan penggunaan rangkaian kereta api sedia ada negara.
Ketua Kerjasama Antarabangsa di Kementerian Infrastruktur, Tanah, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Koji Shikama berkata pada peringkat awal, kumpulan pakar telah dihantar ke Malaysia untuk menyediakan sokongan kepada KTMB diikuti oleh pasukan kedua baru-baru ini.
“Bagi setiap sektor yang kami berikan sokongan, kami telah berkongsi pengalaman Jepun dalam aspek berkaitan serta cadangan yang akan dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Malaysia,” katanya.
Aspek itu termasuk operasi kereta api, gerabak dan penyenggaraan landasan selain pembangunan sumber manusia, komunikasi isyarat dan tenaga elektrik.
“Di samping itu, memandangkan kami merasakan penting untuk pasukan Malaysia menyaksikan sendiri situasi di Jepun, kami telah menjemput pegawai dari Kementerian Pengangkutan Malaysia dan KTMB ke Jepun, selain menjalankan program latihan.
“Pada Januari tahun ini, kira-kira 20 pegawai telah pergi ke Jepun bukannya hanya untuk merasai sendiri pengalaman kereta api Jepun malah berpeluang melawat ke beberapa kemudahan kereta api untuk menambahkan lagi pemahaman mereka mengenai sektor kereta api Jepun,” katanya.
Jepun juga bercadang menjemput kumpulan lain bulan depan sebagai susulan kepada maklumat yang telah dipelajari kumpulan terdahulu bertujuan menambahkan lagi pengetahuan mereka.
Shikama berkata KTMB juga menubuhkan kemudahan latihan untuk kakitangannya dengan banyak usaha telah dilakukan dalam membangunkan bakat, oleh yang demikian Jepun bersedia untuk terus memberikan bantuan bagi meningkatkan lagi tahap kemahiran di KTMB.
-BERNAMA