Lam Thye (Kredit foto Lee Lam Thye)
Lam Thye (Kredit foto Lee Lam Thye)

Setiap majikan dan pekerja di negara ini diingatkan supaya tidak bersikap sambil lewa untuk mematuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi mengelakkan situasi tidak diingini berlaku di tempat kerja lebih-lebih lagi melibatkan potensi kemalangan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye ketika merujuk insiden malang melibatkan kematian dua pekerja asing warga Bangladesh akibat dihempap timbunan kotak kurma dan kayu palet di Pulau Pinang pada Ahad lepas menegaskan kejadian tersebut boleh dielakkan seandainya aspek keselamatan dan perhatian sewajarnya diberikan oleh majikan dan pekerja.

“Insiden ini boleh dicegah jika pihak majikan dan pekerja mengambil berat aspek KKP termasuk memeriksa keadaan rak dan susunan kotak-kotak terbabit.

“Saya berharap pihak berkuasa akan turut menyiasat sama ada pemilik gudang itu menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan.

“Jika ia wujud, adakah anggota jawatankuasa telah mengambil tindakan yang perlu untuk mengelak kejadian seperti itu daripada berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.