Majikan dinasihatkan mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) seandainya mereka berdepan situasi wabak virus koronavirus baharu (Covid-19) di tempat kerja, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.

Menurut beliau, terdapat lima saranan yang perlu dilaksanakan majikan jika perlu bertindak menangani perkara tersebut.

“Majikan disaran mengarahkan pekerja untuk menjalankan pemeriksaan segera, dengan perbelanjaan ditanggung oleh majikan dan pemeriksaan dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan yang ditetapkan mengikut Seksyen 60F Akta Pekerjaan 1955.

“Untuk memberi cuti sakit berbayar atau kelayakan hospital semasa tempoh kuarantin kepada pekerja yang dikenakan perintah kuarantin oleh pengamal perubatan berdaftar, tidak kira sama ada pekerja dikuarantin di rumah atau di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Selain itu, majikan digalakkan untuk memberikan imbuhan tambahan kepada pekerja jika perintah kuarantin melebihi cuti sakit atau kemasukan ke hospital dan memberikan gaji penuh kepada pekerja yang mendapat perintah kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar dari negara-negara dengan kes-kes Covid-19 kerana kewajipan rasmi atau arahan daripada majikan.

Malah, majikan juga tidak boleh menghalang mana-mana pekerja daripada datang bekerja jika tiada perintah kuarantin dikeluarkan oleh mana-mana pengamal perubatan berdaftar. Namun, mereka dibenar mengarahkan pekerja yang tidak sihat untuk tidak datang ke tempat kerja dengan menyediakan cuti sakit berbayar kepada pekerja.

“Majikan juga tidak boleh mengarahkan pekerja, dalam apa cara sekali pun, menggunakan peruntukan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

Kula-segaran-Kredit-foto-KSM.jpg