Penglibatan syarikat-syarikat industri utama dalam membangunkan modal insan dan menyokong dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diharapkan terus aktif kerana sumbangan mereka kepada graduan tempatan dipercayai mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan teknologi negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, beliau yakin kerjasama institusi TVET awam bersama-sama syarikat multinasional berupaya mendorong graduan program TVET untuk memenuhi kriteria dikehendaki industri seperti yang dibuktikan oleh kejayaan 90 peratus graduan berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat tempoh latihan.

“Oleh kerana itu, pemain-pemain utama institusi TVET awam dan swasta negara harus keluar daripada zon selesa masing-masing dan mencari penyelesaian yang berkesan.

“Salah satu pendekatan pastinya kerjasama merentasi pelbagai pihak yang berkepentingan terutamanya dengan pihak industri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen TVET di Hotel Marriott Putrajaya, semalam.

Mahathir-Kredit-foto-KSM.jpg