HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) dan MySkills Foundation (MSF) telah bekerjasama dengan memperkenalkan Program Latihan Kemahiran Transformasi Holistik khusus untuk golongan belia sebagai inisiatif persediaan mereka dalam mendapatkan pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, Stuart Milne berkata persetujuan bersama-sama MSF dicapai berdasarkan tonggak kestabilan korporat banknya untuk menyokong keupayaan kewangan dan peluang pekerjaan kepada khalayak daripada komuniti terutamanya golongan muda.

“Melalui perkongsian dengan MSF dalam usahasama ini, kami berharap dapat memberikan pendedahan kepada para remaja dalam berdepan pelbagai kemahiran yang akan meningkatkan peluang mereka untuk mempunyai masa depan yang cerah dan berjaya,” katanya pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) HSBC dengan MSF di Kalumpang Selangor, semalam.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.

Program latihan selama 12 bulan yang bermula sejak April lepas menyasarkan seramai 100 belia menjalani latihan vokasional, pengurusan hayat dan kemahiran insaniah sebagai persediaan mereka sebelum terbabit di dalam pekerjaan bergaji tinggi sebaik sahaja tamat pengajian.

Dibiayai oleh HSBC, program latihan yang meliputi latihan vokasional tersebut fokus kepada karier dalam bidang seperti elektrik, paip, penyaman udara, kesetiausahaan korporat dan pembuatan roti.

MoU-HSBC-MSF-Kredit-foto-KSM.jpg