Inisiatif pengambilan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya bakal menerima lonjakan baharu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif tersebut pada tahun hadapan dengan beberapa penambah baikan akan dilakukan.

“Pertama, insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan, kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

“Kedua, bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus.

“Ketiga, bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Tambah Tengku Zafrul, mereka yang terlibat akan diberikan insentif bagi tempoh enam bulan.

“Keempat, bagi mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

“Bagi menjayakan keempat-empat inisiatif PenjanaKerjaya ini, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 pencari kerja,” ujarnya.

-HR HUB

Budget-2021.jpg