Akademi Binaan Malaysia (ABM), pusat penilaian dan latihan di bawah kendalian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengiktiraf seramai 210 pelatih mahir yang berjaya menamatkan kursus-kursus di ABM Wilayah Tengah dengan penyampaian Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) CIDB.

Pencapaian ini adalah sebahagian daripada komitmen CIDB untuk mewujudkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam sektor-sektor pembinaan dan yang berkaitan, di samping meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran para pelatih khususnya dalam kalangan belia.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, pihaknya telah memberi peruntukan sebanyak RM700 juta sejak tahun 1997 kepada ABM untuk memperkasakan pelatih dan personel binaan tempatan melalui penawaran kursus-kursus serta program perantisan.

“Seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menuju ke arah ekonomi berasaskan produktiviti dan maju, ABM mempersiap kesemua peserta tempatan ini untuk berjaya dalam kerjaya binaan masing-masing.

“Menerusi pewujudan tenaga kerja tempatan yang terlatih dan diakreditasi di Malaysia, ini secara tidak langsung turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, selaras dengan teras strategik Produktiviti di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020,” katanya kepada pemberita selepas majlis graduasi pelatih ABM Wilayah Tengah di Pusat Konvensyen CIDB Kuala Lumpur, baru-baru ini.