Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi pelepasan kepada majikan untuk menguruskan caruman wajib bagi gaji bulan Mac yang sebelum ini dijadualkan pada 24 April ke tarikh baru iaitu 30 April ini.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, keputusan tersebut telah disepakati setelah pihaknya meneliti respons daripada majikan ekoran kesulitan menguruskan hal berkenaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang kini dilanjutkan.

“Lazimnya, majikan diwajibkan membuat bayaran caruman KWSP sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan. Semalam, KWSP telah mengumumkan bahawa tarikh bayaran untuk bulan April ini dilanjutkan ke 24 haribulan.

“Walau bagaimanapun, setelah menerima maklum balas dan permintaan yang tinggi dari pihak majikan, Lembaga KWSP telah sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan lagi tarikh bayaran caruman sehingga akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majikan boleh membuat bayaran caruman tersebut melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.

KWSP.jpg