Program Bank Rakyat Protege yang dijayakan oleh Bank Rakyat melalui Yayasan Bank Rakyat akan terus dipeluaskan setelah 39 daripada 100 graduan lepasan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menyertainya berjaya melepasi pemilihan untuk ke sesi latihan seterusnya.

Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, program tersebut yang akan turut diperhebatkan ke negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak bukan sahaja memberi tumpuan berkaitan modul latihan sebagai Perantis Penasihat Kewangan malah membuka peluang pekerjaan di dalam sektor perbankan kepada mereka.

“Selain ilmu dan pengalaman, Bank Rakyat Protege juga menawarkan kemahiran praktikal dan pendedahan sebenar di tempat kerja dalam industri perbankan.

“Antara kriteria yang menjadi keutamaan bag menyertai program ini ialah aktif dalam aktiviti kokurikulum, mempunyai keperibadian yang menarik, kemahiran komunikasi yang baik, berintegriti serta mempunyai kemahiran berfikir secara analitik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bank Rakyat Protege di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur, semalam.

‘Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs’ (Protege) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan sejak Januari lepas merupakan pembaharuan kepada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang akan lebih terbuka penyertaannya kepada golongan belia semua peringkat.